Pemilik syarikat WildWhiz Learning dipilih sebagai Duta Bahasa Melayu 2019

SINGAPURA: Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS) memperkenalkan tiga Duta Bahasa Melayu baru bagi kempen Bulan Bahasa 2019.

Mereka ialah pemain piano dan usahawan muzik Nabillah Jalal, peguam Zhulkarnain Abdul Rahim dan penggiat seni Noorhaqmal Mohamed Noor atau lebih dikenali ramai sebagai Aqmal N.

Mendedahkan demikian dalam satu sidang media di Wisma Geylang Serai hari ini (19 Jul), pihak penganjur Bulan Bahasa menyatakan ketiga-tiganya menceburi bidang yang berbeza-beza dan berharap dapat melestarikan penggunaan Bahasa Melayu, berbekalkan pengalaman masing-masing.

Satu lagi perkembangan baru ialah estet Toa Payoh akan turut menganjurkan sambutan Bulan Bahasa.

Dipanggil Bulan Bahasa@Toa Payoh, ia menjadi kawasan kejiranan terkini dan ketujuh untuk berbuat demikian, selain Sembawang, Jurong, Marsiling, Tampines, Chua Chu Kang dan Nee Soon.

Kempen Bulan Bahasa 2019 yang bertemakan ‘Cita. Citra. Cinta. Bahasa Kita.’ akan berlangsung dari 17 Ogos hingga 13 Oktober ini.

“Harapan kami adalah agar masyarakat terus mencari makna dalam penggunaan Bahasa Melayu,” kata Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa Cik Rahayu Mahzam yang selanjutnya menekankan bahasa Melayu dapat mengaitkan orang ramai dengan nilai, sejarah dan warisan kita.

DUTA BAHASA 2019: NABILLAH JALAL

Meskipun menceburi bidang muzik, Cik Nabillah Jalal yakin bahasa Melayu merupakan jambatan untuk mengenali budaya dan beliau berharap para belia akan menyertai usahanya untuk memupuk rasa cinta terhadap Bahasa Melayu.

Cik Nabillah ialah seorang lulusan Royal College of Music London dan beliau pernah menerima Anugerah Belia Harapan Goh Chok Tong pada 2011.

Beliau membuka sebuah studio pada tahun lalu dan menaja kelas-kelas muzik klasik bagi para pelajar yang menerima bantuan di bawah Skim Bantuan Kewangan (FAS) Kementerian Pendidikan (MOE). Kelas-kelas muzik kontemporari juga disediakan bagi para belia berisiko secara percuma.

Ditanya BERITAmediacorp tentang bagaimana beliau akan memainkan peranannya sebagai seorang duta bahasa, Cik Nabillah berkata beliau menjadikan muzik dan Bahasa Melayu sebagai jambatan untuk memahami masyarakat umum dengan lebih mendalam lagi.

“Ramai pengikut saya di media sosial merupakan pelajar sekolah yang kurang fasih dalam Bahasa Melayu. Saya ingin memuat naik video-video pendek seperti influencer lain yang dapat membantu mereka menguasai bahasa dengan lebih baik,” kata Cik Nabilah.

DUTA BAHASA 2019: ZHULKARNAIN ABDUL RAHIM

Bagi Encik Zhulkarnain pula, peguam berkaliber itu aktif dalam pelbagai badan masyarakat dan pernah menjadi Pengerusi AMP. Beliau juga giat menyumbang ideanya menerusi media tempatan, termasuk dalam ruangan Komentar di portal BERITAmediacorp.

Penulisannya meliputi pelbagai topik termasuklah masalah sosial, undang-undang dan hubungan antarabangsa. Dalam setiap penulisannya, beliau menyelitkan mesej-mesej untuk membakar semangat dan meniup inspirasi kepada generasi muda.

Peguam yang pernah dijulang dengan Anugerah Ten Outstanding Young Persons of The World (10 Anak Muda Cemerlang Dunia) pada 2017 ini tidak sabar untuk berkongsi pengalamannya serta usahanya menyebarkan cinta terhadap Bahasa Melayu.

Encik Zhulkarnain turut berkongsi bersama BERITAmediacorp, sebagai seorang bapa, beliau juga berdepan dengan cabaran untuk menggalak anak-anaknya berbahasa dalam Bahasa Melayu. Ini yang membuatnya juga ingin meneroka pendekatan bagi golongan ibu bapa untuk memupuk rasa cinta terhadap bahasa dalam kalangan anak-anak mereka.

“Cabaran yang kita hadapi adalah banyak. Dalam suasana yang dwibahasa ini, peningkatan budaya atau bahasa ibunda amat penting. Jadi kalau kita tidak terapkan minat dan cinta kepada bahasa dalam anak-anak kita, maka hilanglah cinta terhadap budaya dan nilai-nilai teras masyarakat kita,” kata Encik Zhulkarnain.

DUTA BAHASA 2019: AQMAL N

Siapa yang tidak kenal Aqmal N – beliau sering menghiasi kaca televisyen. Namun, penggiat seni yang juga bekas guru ini sebenarnya, giat menyediakan program-program pendidikan dan budaya bagi para pelajar.

Beliaulah pengasas WildWhiz Learning yang berkerjasama rapat dengan sekolah-sekolah.

Dengan pengalamannya yang aktif menggubah lagu untuk televisyen dan radio, di samping menerbitkan lau-lagu daripada karya puisi, Aqmal ingin menggalak masyarakat menggunakan Bahasa Melayu sebagai wadah untuk meluahkan perasaan mereka menerusi karya dalam bentuk puisi dan lagu.

“Kita akan cuba menarik minat mereka melalui program dahulu. Setelah ada minat, baru mereka akan mengenali apakah itu penggunaan Bahasa Melayu kemudian, tentunya, apabila kita kenal baru kita cinta,” katanya.

RAKAN KERJASAMA BARU MBMS

Kempen Bulan Bahasa tahun ini bakal lebih rancak dengan adanya sokongan rakan-rakan kerjasama baru untuk menganjurkan pelbagai program untuk menarik minat seluruh masyarakat.

Cik Rahayu Mahzam berkongsi antara inisiatif baru di Sidang Media Bulan Bahasa hari ini.

Antara kerjasama baru yang dijalinkan tahun ini adalah bersama Ilham Childcare. Di bawah program dipanggil Rakan Bahasa Cilik, murid-murid prasekolah akan diberi pendedahan kepada pelbagai aspek bahasa, kesusasteraan dan warisan Melayu menerusi permainan, makanan dan puisi tradisional Melayu.

Bukan itu sahaja, akan ada wadah bagi orang ramai untuk menjadi lebih celik dalam perihal kewangan menerusi kerjasama dengan Bio Dew Management Institute. Diinspirasikan daripada permainan ‘Monopoly’ dan ‘The Game of Life’ para peserta boleh bersaing untuk mendapat markah tertinggi dan merebut hadiah-hadiah menarik.

Persatuan Minangkabau Singapura juga turun padang untuk menganjurkan bengkel sastera. Menerusi bengkel itu, para peserta akan menyelami bahan sastera Minangkabau, khususnya pelbagai bentuk puisi seperti bakaba, maota, bakieh dan pepatah petitih.

Kelab-Kelab Masyarakat dan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) juga akan terus menyambut Bulan Bahasa di kawasan-kawasan kejiranan. Acara yang dianjurkan oleh pihak sedemikian akan berlangsung selama tiga hujung minggu pada bulan September.

PELBAGAI PERSEMBAHAN, PROGRAM DI MAJLIS PELANCARAN 7 SEP

Turut didedahkan dalam sidang media hari ini adalah atur cara Majlis Pelancaran Bulan Bahasa 2019 yang bakal diadakan pada 7 Sep 2019 di Muzium Tamadun Asia.

Sekolah-sekolah dan rakan-rakan kerjasama akan menggembleng tenaga untuk mengadakan pelbagai program, termasuk mementaskan persembahan berkaitan dengan budaya dan warisan Melayu.

Dalam satu program dipanggil Jelajah Muzium oleh Rakan Bahasa pula, para pengunjung berpeluang melihat dan menghayati seni, tekstil, terbitan dan artifak yang terdapat di Nusantara pada abad ke-19. Program ini sekali gus dijadikan wadah bagi meningkatkan keyakinan diri Rakan-Rakan Bahasa untuk menyampaikan kisah tentang artifak-artifak kepada para pengunjung dalam bahasa Melayu.

Pengunjung juga boleh menyusuri sejarah dalam legenda Melayu bersama Sekolah Menengah Orchid Park dalam Tamsil Teladan Tokoh, di mana mereka dapat mengenal lebih dekat wira-wira Melayu serta mengamati nilai-nilai yang terkandung dalam kisah-kisah silam.

Kesemuanya akan ada tujuh sambutan Bulan Bahasa Melayu dianjurkan di kawasan-kawasan kejiranan, seperti berikut:

8 September – Bulan Bahasa@Toa Payoh
14 September – Bulan Bahasa@Sembawang
14 September – Bulan Bahasa@Jurong
14 September – Bulan Bahasa@Marsiling
14 September – Bulan Bahasa@Tampines
28 September – Bulan Bahasa@Chua Chu Kang
28 September – Bulan Bahasa@Nee Soon

Sila baca https://berita.mediacorp.sg/mobilem/singapura/3-duta-bahasa-baru-dilantik-estet-toa-payoh-pula-kejiranan/4310852.html