Kejayaan RENTA bagi Program Bulan Bahasa 2017

Pada tanggal 16 September 2017, WildWhiz Learning telah bekerjasama dengan RENTA Collective untuk menghasilkan sebuah pementasan puisi. Pementasan ini terhasil setelah gabungan idea untuk menghasilkan sebuah pementasan dilahirkan bersama pihak WildWhiz Learning dan RENTA Collective.

Ideanya tercetus apabila wakil WildWhiz Learning berbincang bersama pihak RENTA Collective untuk membuat pementasan beberapa karya puisi yang ditulis penulis Singapura sendiri.

 

Ianya juga diharap dapat menggabungkan idea penggunaan bebebarapa perkataan arkaik yang sudah lama tidak digunakan. Setelah berbincang akhirnya idea ini disalurkan kepada MLLPC dan Majlis Bahasa untuk dijadikan sebuah pementasan di dalam program Bulan Bahasa 2017.

RENTA kemudian terhasil dibawah penulisan karya skrip serta arahan pengarah muda yang berkaliber, Hidayat Nordin. Beliau berpengalaman mengarah para pelakon dan pemuzik muda daripada politeknik dan institut ITE setempat.

 

 

Para pelakon, pemuzik dan kru-kru produksi terdiri daripada para pelajar dan bekas pelajar sekolah Nanyang Politeknik, ITE East (Simei), Politeknik Temasek dan Politeknik Ngee Ann. Para pelakon yang terlibat juga terdiri daripada pelajar yang ada pengalaman produksi serta yang baharu berjinak-jinak dengan teater dan pentas. Para pemuzik yang terlibat sememangnya berpengalaman menghasilkan muzik dikir barat secara live. Nyanyian lunak Tok Juara dan Tukang Karut, penyampaian para pelakon yang ‘on point’ dan gerak ragam awak-awak dikir barat yang menarik telah menyerikan keseluruhan persembahan.

Pengalaman semua tenaga kerja produksi ini amat penting demi memastikan segalanya berjalan dengan lancar. Alhamdulillah, tiket RENTA 2017 habis terjual dan pementasan ini merupakan sesuatu yang amat memberangsangkan.

WildWhiz Learning juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada RENTA Collective, Malay Language Learning and Promotions Committee (MLLPC), Majlis Bahasa Melayu Singapura (MBMS), Bulan Bahasa 2017, Mendaki, Sarah Noor dan Mika Events & Productions. WildWhiz Learning akan terus berusaha untuk bekerjasama dengan semua institut pengajian di Singapura demi mengembangkan bahasa, memasyarakatkan budaya dan melestarikan seni dan persuratan Bahasa Melayu di Singapura.