“Berhenti!”
Teriakkan suara memusingkan beberapa kepala termasuk kepalaku. Aku perhatikan seorang lelaki memakai kot, dan bertali leher berlari merempuh barisan kedai dan orang ramai. Kami bertentang mata, si lelaki berambut perang muda, bermata biru bak nilam dan bermisai tipis langgar aku hingga kami berdua tergolek ke lantai. Dia lantas bangun sambil menarikku naik.
“Sorry… I am so sorry,” katanya dengan loghat British yang pekat dan sambung berlari diekori dua pegawai polis.
Aku perhatikan drama yang sedang berkembang. Sebaik sahaja si lelaki berambut perang diterkam dan digari orang ramai yang berkumpul mulai surut.
Aku meneruskan kegiatan hari itu tanpa mengambil berat kejadian yang berlaku semasa waktu makan tengah hari, banyak lagi perkara penting yang memerlukan perhatian aku. Aku pulang ke pejabat yang berada di dalam keadaan yang muram. Pada tahun 1967, dua tahun selepas kemerdekaan, pihak British mengumumkan bahawa mereka akan menarik balik pihak tenteranya dari Singapura pada tahun 1971. Aku risaukan pekerjaan aku, malah 20 peratus warga negara ini risau apa akan jadi kepada mereka selepas British mengundurkan diri.
Bulan lalu, perbarisan diadakan untuk memperingati sumbangan tentera British dan juga sebagai menandakan tamatnya lebih daripada satu abad kehadiran pihak tentera British di rantau ini.
Aku hadir pada majlis perbarisan dan ucapan Chief Air Marshal Sir Brian Kenyon Burnett masih segar di dalam memori. Dia berucap kepada ratusan kakitangan kerajaan. Walaupun ucapannya bertujuan untuk menenangkan keadaan, namun ia menyemarakkan lagi kerunsingan dan kegelisahan terhadap nasib kami. Sebagai tolak ansur, menurut Chief Air Marshal, pihak British bersetuju untuk melanjutkan tarikh pengunduran hingga Disember 1971.
“Ahmad Zaidi!”
Ingatan aku terputus apabila namaku dipanggil.
“Tuan…”
“Laporan anda seharusnya berada di atas meja saya satu jam yang lalu!”
“Maaf tuan, saya habiskannya sekarang,” aku berkata kepada lelaki British berpangkat Mejar yang sudah bersara. Hugh Black mentadbir pejabat dengan lancar. Setiap pegawai pejabat, tidak kira pangkat mereka diarahnya seperti seorang askar. Aku perhatikan dia jalan terdengkot-dengkot, bertongkat. Khabarnya akibat kecederaan semasa perang dunia kedua mempertahankan Kota Singapura.
“Tuan,” aku mengetuk pintu pejabatnya lalu masuk dengan laporan fail di tangan yang sudah kemas ditaip.
“Duduk,” katanya sambil menunjuk kepada kerusi pejabat.
Hugh Black sedang menyemak laporan di atas mejanya sambil menghisap cerut. Kipas siling meniup udara panas ke dalam bilik pejabat. Wajah Hugh Black mulai kemerah-merahan. Dia kerap mengelapnya dengan sapu tangan yang diselitkannya kembali ke dalam kocek kotnya.
Aku kagum dengan lelaki British yang berbadan montok. Walaupun di dalam cuaca yang sangat panas ini, dia tetap memakai kot dan tali leher dan setiap kali dia keluar aku akan perhatikan dia memakai topi fedora dan membawa tongkat. Rambutnya yang jarang sentiasa kelihatan rapi. Mahkota sulungnya merupakan misai yang lebat yang sentiasa dijaga rapi umpama seorang pekebun yang memangkas pokok renek.
Hugh Black meletak laporan di atas meja ke tepi dan memandang ke arahku, “Engkau risau dengan pekerjaan engkau?”
Aku mengangguk.
“Bukan saya seorang sahaja tuan, saya rasa semua orang di dalam pejabat ini yang bukan warga negara British.”
Kini giliran Hugh Black mengangguk tanda setuju. Dia mula mengenang.
“Aku akan rindu tempat ini. Di London cuacanya terlalu sejuk. Tidak bagus untuk misai aku. Mudah menggermang.”
Ingatan Hugh Black seperti terputus apabila aku memanggil namanya pula… “Tuan Black…”
Dia menyemak laporan yang aku hulur dengan senyuman. “Usah bimbang Ahmad Zaidi. Aku akan menulis surat perakuan untuk engkau dan semua orang di dalam pejabat ini sebelum kami balik kampung.”
Aku menghabiskan laporan yang perlu pada hari itu. Habis menaip laporan aku menyeluk kocek seluar untuk mencari kunci laci bila jariku rasa bentuk sebuah duit syiling. Hairan, jarang aku bawa duit syiling di dalam kocek. Jariku menarik keluar duit syiling British 50 sen.
Aku meneroka ingatan. Pelik, tidak pernah aku ada benda sebegini di dalam kocek. Aku tidak mengambil endah lantas menyimpannya kembali ke dalam kocek dan bergegas keluar untuk temu janji ke pawagam pandu masuk yang dibuka di Jurong.

Sepanjang perjalanan bulu roma di leher sentiasa meremang, aku rasa seperti ada orang yang sedang memerhatikan setiap gerak langkahku. Bila aku menoleh ke belakang aku tidak perasan apa-apa yang aneh, namun perasaan itu berlengah pada seluruh perjalanan.
Aku baru sahaja berdiri di simpang jalan Eu Tong Sen apabila seorang wanita berdiri di sebelahku lantas memegang leganku dan menarik aku erat ke sebelahnya. Aku perhatikan rambut si wanita berwarna perang hingga ke bahu, sebahagian daripada wajahnya tersembunyi oleh topi berbirai lentik. Sebelum sempat aku membantah tangannya kirinya mengacu muncung pistol ke bahagian rusuk kiriku dan menolak aku menyeberang jalan.
“Saya syorkan encik ikut arahan saya,” kata si wanita sambil menekan muncung pistol ke badanku. Aku tidak banyak bertanya.
“Berhenti di sini dan belok ke dalam lorong!” arah si wanita misteri.
Aku memasuki ke dalam lorong yang dimaksudkan. Angin petang mengikis penjuru lorong membawa bau sampah yang busuk. Kini dia menghalakan pistol ke tempurung kepalaku. “Di mana benda yang dia beri kepada engkau.”
Aku mengerling ke wanita rambut perang. “Aku tidak faham apa yang engkau maksudkan.”
Muncung pistol ditekan ke kepalaku.
“Aku perhatikan dia memberinya kepada engkau. Di mana benda yang dia beri kepada engkau?”
“Aku tidak tahu apa yang engkau maksudkan!” teriakku.
Si wanita berambut perang itu merenung wajahku, dalam sekelip mata kedengaran bunyi puff di belakang si wanita. Dia mula menyentak, wajahnya mengerut kesakitan, aku dengar bunyi nafasnya tertahan. Pistol di tangan si wanita jatuh, badanya lemah gemalai rebah di lorong. Darah mula mengalir keluar daripada luka kerana kena tembakkan di bahagian belakang.
Aku mendongak melihat seorang lelaki berjalan pantas dan hilang di penjuru lorong.

* * *
Sepulangnya aku ke pejabat, aku duduk menarik nafas panjang. Fikiranku amat terusik. Rasakan seperti aku berada di dalam filem aksi Jefri Zain. Aku membongkar fikiranku, ia mula tertarik kepada duit syiling British 50 sen di dalam kocek.
Suara si wanita berambut perang terngiang-ngiang di telinga… ‘Aku perhatikan dia memberinya kepada engkau. Di mana benda yang dia beri kepada engkau?’
Tanganku menggeletar bila aku menyeluk kocek seluar bagi mengeluarkan segala isi kandungan di atas meja. Aku menyelongkar isi kandungan hingga aku temui duit syiling British 50 sen yang kelihatan janggal di samping nota mata wang kertas. Secara automatik aku menggenggamnya erat bak sesuatu yang berharga.
Kini suara si lelaki berambut perang pula kedengaran di telingaku… ‘Sorry…I am so sorry.’
Mungkin ini yang dimaksudkan. Dia melanggar aku lalu memasukkan duit syiling ini ke dalam kocek seluarku. Bak seseorang yang melepaskan saka yang tidak diinginkan. Aku membuka genggaman yang erat. Rasa beratnya duit syiling amat aneh. Aku membeleknya di tangan melihat permukaan yang tertera kata-kata Malaya and British Borneo 1961 mengelilingi nombor 50. Tebalnya pun kelihatan janggal. Aku mengumpilnya buka mengguna kuku jari, isi dalam duit syiling yang lopong mengandungi sebuah benda empat segi yang kecil. Aku memegangnya di antara ibu jari dan jari telunjuk. Ia seperti sebuah filem kecil.
“Apa harus aku lakukan?” tanya diriku.
Selang beberapa minit aku duduk di meja kerja, aku mengambil keputusan untuk berjumpa Hugh Black. Aku mengumpul beberapa fail. Di luar pejabatnya aku dapat mendengar suaranya yang garau berbual lancar di telefon. Aku mengetuk jenambang pintu pejabat. Hugh Black mengarahkan aku masuk dengan isyarat tangan.
Sepintas lalu aku perhatikan fail yang terbuka luas di atas meja yang menarik perhatian si Mejar yang sudah bersara. Kelihatan gambar seorang lelaki berambut perang muda, bermata biru bak nilam dan bermisai tipis bersebelahan gambar seorang wanita berambut perang. Aku mampu menangkap beberapa perkataan di dalam laporannya.
−1945− / −Yamashita− / −Filipina−
Penglihatanku serta merta menjadi gelap apabila kepalaku diserkup kain hitam. Sakit menular di belakang kepala sebelum aku rebah.

* * *
Pandangan aku dikaburi kain hitam yang menutup seluruh kepala. Aku bak cacing kepanasan. Kedua tangan dan kaki diikat. Seluruh jiwa ragaku diselubungi kebimbangan, aku mula terkapar-kapar untuk bernafas. Hidungku menangkap bau cerut yang kuat memenuhi ruang bilik.
Mataku rasa perit bila kain di tarik, pandangan aku kabur, selang beberapa minit aku perhatikan Hugh Black duduk menghadapku. Bilik tidak bertingkap menampung kami berdua.
Dia tersenyum, menampakkan giginya yang kuning.
“Amat sayang engkau diheret ke dalam situasi ini. Engkau Ahmad Zaidi mempunyai potensi yang besar.”
Hugh Black mencapai tongkat, dia menopang dirinya dan berjalan ke arahku. “Di mana benda yang dia beri kepada engkau?”
Fikiran aku terus ke duit syiling 50 sen yang masih di dalam kocek seluar.
“Siapa dia tuan? Ejen MI6?”
Hugh Black tersenyum bila menjawab pertanyaan aku. “Bekas ejen MI-6. Seorang yang tidak penting. Dia dan si teman wanitanya suka jaga tepi kain orang!”
Kepala tongkat dihentaknya ke bahagian perutku. Rasa sakit, senak bercampur mual naik ke mulut hingga aku muntah. Sekali lagi Hugh Black bertanya.
“Di mana benda yang dia beri kepada engkau?”
Aku berdiam.
Hugh Black ke belakang aku dan meletak tongkatnya pada leherku dan mula menarik dengan perlahan. Halkum aku di tekan tongkatnya. Pernafasan aku mula tersekat. Hatiku semakin lama semakin kencang berdegup ketakutan. Aku meronta-ronta cuba mencuri oksigen yang semakin melepaskan diri daripada paru-paru.
“Di mana benda yang dia beri kepada engkau?” tanya Hugh Black dengan suara yang tegas.
Aku mengumpul segala semangat yang ada, berbekalkan oksigen yang tinggal aku mencampakkan kata-kata. “Di dalam kocek seluar.”
Hugh Black melepaskan genggaman pada tongkatnya. Udara nyaman melimpah masuk ke dalam paru-paru aku yang sedang memberontak. Aku batuk sambil menarik nafas panjang. Jarinya Hugh Black menyelongkar kocek seluar aku hingga dia mendapat duit syiling British 50 sen yang dimaksudkan.
Mukanya Hugh Black mulai bertaburan bintik-bintik kegembiraan. Dia mengumpil duit syiling itu seperti sebiji kacang. Hugh Black memegang benda empat segi kecil yang merupakan isi kandungan duit syiling. Senyuman mula terukir pada bibir bermisai lebat itu.
“Engkau yang menembak si wanita di lorong Eu Tong Sen.”
“Aku terpaksa menghapuskan persaingan,” kata Hugh Black tanpa emosi. Dia mengambil tempat duduknya kembali.
“Dan bagaimana dengan si lelaki yang memberi aku duit syiling itu?”
“Mereka berdua menolong aku untuk mendapatkan ini. Namun perkhidmatan mereka tidak lagi diperlukan,” kata Hugh Black berseloroh.
“Engkau percayakan legenda?” tanya Hugh Black.
Aku cuba melengahkan masa dengan menyebut nama yang aku baca secara imbasan.
“Legenda Yamashita?”
Hugh Black berdiam sebentar. “Tahukah engkau selama 30 tahun kewujudan harta karun Yamashita ditolak oleh para pakar arkeologi dan sejarah. Kini aku dapat membuktikan bahawa rampasan harta perang dicuri oleh Si Harimau Malaya ada disembunyikan di dalam gua dan kompleks bawah tanah askar Jepun di Filipina.”
Hugh Black mendekati aku, dia menunjukkan benda empat segi kecil yang merupakan isi kandungan duit syiling. Dia mula bermonolog.
“Pada tahun 1851, James Glaisher mencadangkan kaedah memelihara dokumen yang di panggil Mikrofotografi. Ia padat, dan kos penyimpanan jauh lebih kecil daripada sistem dokumen kertas yang ada sekarang.”
“Apa kaitannya dengan harta karun Yamashita?” aku bertanya.
“Semasa Perang Dunia Kedua tentera Amerika dan Komanwel melancarkan Operasi Musketeer untuk menakluki negeri Filipina daripada jajahan Jepun. Apabila tentera Jepun menyerah diri pada 1945. Pihak tentera Amerika Syarikat dan Komonwel merampas dokumen-dokumen rahsia daripada tentera Jepun. Di antaranya merupakan lokasi harta karun Yamashita,” mula Hugh Black.
“Namun dalam kesibukan meraih kemenangan, dokumen-dokumen itu di masukkan ke dalam arkib. Semua orang terlupa tentangnya. Pada lewat 60-an tentera British dan Amerika mula microforming dokumen-dokumen perang dunia kedua dan syarikat aku antara mereka yang bertanggungjawab untuk memelihara dokumen dengan kaedah mikrofotografi. Salah seseorang kerani syarikat ini terserempak dokumen tentang lokasi harta karun Yamashita. Itulah apa yang aku ada tangan bagi pencen persaraan.”
Hugh Black merenung isi kandungan duit syiling.
“Hampir 50 tahun aku berkhidmat sebagai seorang askar. For Queen and Country! Akhirnya apa yang mereka beri kepada aku? Sebuah pejabat dan meja kerja. Inilah jaminan sebaik sahaja aku dihumban kembali ke London.”
Aku tunggu Hugh Black mendekati aku sekali lagi. Selama dia bermonolog aku cuba meloloskan pergelangan tanganku. Aku tahan rasa perit setiap kali aku memutar dan menggesek pergelangan dengan tali sehingga melecet, sehingga tanganku lolos daripada ikatan.
Aku perhatikan tangan Hugh Black menyeluk kocek dalam kotnya dan mengeluarkan sebuah pistol. Dia umpama mengekek sambil mengacu pistol ke arahku. Dia berdiri dekat sehingga aku dapat bau nafasnya, aku menerkam dia dengan tanganku dan melepaskan penumbuk sungkit kanan, menyebabkan pistol di tangannya jatuh dan dia rebah. Aku menggunakan masa yang singkat untuk membuka ikatan pada kaki. Pandanganku tidak beralih daripada bentuk Hugh Black yang sedang merangkak, tangannya terkapai-kapai mencari senjata yang jatuh. Tanpa berfikir panjang aku mengangkat kerusi kayu di mana aku diikat dan menghentaknya ke bahagian badan belakang Hugh Black. Dia lantas tidak sedarkan diri.
* * *
Aku menekap kain yang diberi oleh paramedik pada luka di leher. Selepas pihak polis mengambil kenyataan, aku dikunjungi oleh seorang lelaki berpakaian kemeja biru, berlengan panjang. Rambutnya yang pendek dan hitam disikat rapi, tidak kelihatan seutas pun yang terjuntai keluar.
Dia hanya memperkenalkan dirinya sebagai seorang pegawai yang mewakili kerajaan British dan amat prihatin terhadap apa yang berlaku. Dia bertanya kepada aku dengan loghat British bercampuran Scottish yang pekat.
“Tuan ada melihat microfilm yang dimaksudkan?”
Aku menggelengkan kepala. Namun aku rasa dia tahu aku berbohong. Dia menghulur kad namanya dengan senyuman dan kata-kata “Jika tuan ingat kembali.”
Aku tersenyum, membaca kata-kata tersirat yang dimaksudkan. Apabila aku dibenarkan pulang aku menuju ke Sungai Singapura. Aku menyeluk kocek seluar mengeluarkan duit syiling British 50 sen. Tanpa berfikir dua kali aku melontar duit ke dalam sungai.
Aku berbisik kepada diri sendiri sebagai peringatan.
“Usah kejarkan legenda yang tidak akan membuahkan hasil, biar ia diabadikan sebagai sebuah kisah. Harus lihat ke hadapan. Mengejar cita-cita bukan legenda!”
